Pergi ke kandungan

Abu Samah Mohd Kassim

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Abu Samah bin Mohd Kassim (Februari 1926 – 7 April 2009)[1] ialah salah seorang Ahli Jawatankuasa Pusat PKM sejak 1975. Dengan itu, beliau ialah salah seorang pemimpin Melayu Parti Komunis Malaya (PKM) yang penting. PKM ditubuhkan pada 1930 sedangkan UMNO ditubuhkan pada 1946.

Kehidupan

[sunting | sunting sumber]

Abu Samah dilahirkan pada Februari 1926 di Kampung Lanar dalam mukim Semantan, Temerloh, Pahang. Beliau ialah anak keempat daripada enam adik-beradik dan merupakan cicit Dato' Bahaman, Orang Kaya Semantan yang memimpin gerakan penentangan terhadap campur tangan Inggeris dalam politik dan pentadbiran Pahang pada tahun 1891–1894. Beliau pernah mendapat pendidikan di sekolah Melayu sehingga darjah lima sebelum ke sekolah agama dan Arab selama tiga tahun.[2]

Beliau mengatakan bahawa dirinya telah menyertai Kesatuan Melayu Muda (KMM) semasa berumur 11 tahun di samping menyertai pasukan sukarela ketika zaman remajanya untuk menentang penjajahan tentera Jepun. Penglibatannya dalam politik bermula pada pertengahan tahun 1939 selepas menyertai KMM. Setahun kemudian, beliau memasuki Federated Malay States Volunteer Force dengan pangkat lans koperal.[2]

Pada tahun 1943 pula, beliau berundur ke Singapura lalu menjadi salah seorang anggota pasukan Hei Ho. Beliau menyandang pangkat sebagai sarjan dalam pasukan Hei Ho sehingga 1945 bilamana beliau melarikan diri lantas pulang ke Semantan lalu menghubungi Tentera Anti-Jepun Penduduk Tanah Melayu (MPAJA). Beliau juga pernah menyertai Parti Kebangsaan Melayu Malaya bahkan beliau juga pernah dilantik oleh masyarakat kampungnya sebagai Jawatankuasa didalam parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu sebelum berlaku darurat. Antara jasa beliau adalah seperti mewujudkan koperasi dan kedai-kedai di sekitar Kampung Mempatih bagi menaikkan perekonomian dalam komuniti dan menggerakkan masyarakat agar boleh mandiri dan tidak lagi bergantung kepada pihak penjajah dan pemerintah setempat.

Pada tahun 1946–1948, beliau menyertai pejuangan nasionalisme dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya dan Angkatan Pemuda Insaf. Seterusnya pada 1948 selepas undang-undang perisytiharaan darurat, beliau menyertai perjuangan bersenjata untuk mendapatkan kemerdekaan melalui Rejimen Ke-10, Tentera Pembebasan Nasional Malaya. Beliau pernah berjaya melepaskan diri ketika berlakunya serangan hendap oleh tentera kerajaan pada tahun 1951.[2]

Pada lewat tahun 1950-an, beliau menjadi komisaris politik dalam PKM dan memimpin pasukan propaganda komunis dan platun merdeka sebelum menjawat jawatan sebagai anggota jawatankuasa pusat.[2] Atas arahan pihak tertinggi PKM, pada 1953, Rejimen ke-10 berpindah dari hutan Semantan, Temerloh, Pahang ke sempadanan diantara utara Semenanjung Tanah Melayu dan selatan Thailand melalui jalan hutan Banjaran Titiwangsa sehingga 1989. Antara 1969 hingga 1976, beliau memimpin pasukan penggempur seramai 40 orang di Hulu Kelantan. Malahan, beliau pernah bertembung dengan tentera Malaysia dalam Operasi Gonzales.

Dalam usia 80 tahun, beliau menetap di Kampung Banchulabhorn Pattana 12 di daerah Sukhirin, Thailand Selatan bersama Abdullah CD dan bekas anggota Rejimen Ke-10 yang memilih tidak pulang ke Malaysia.[2] Abdullah C.D. dan Rashid Maidin telah meninggal dunia di selatan Thailand.[perlu rujukan]

Meninggal dunia

[sunting | sunting sumber]

Abu Samah telah meninggal dunia pada 7 April 2009 ketika kira-kira pukul 5 pagi (waktu Thailand) di Hospital Sungai Golok, Thailand[3] lalu meninggalkan seorang balu iaitu Siti Norkiah Mahmud Baginda.[1]

Buku memoir anggota PKM mendapat kecaman pelbagai pihak dalam akhbar Utusan Malaysia kerana cuba mengangkat anggota-anggota PKM sebagai pejuang kemerdekaan. Oleh itu, penerbit buku ini, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), telah membekukan penerbitan dan pemasaran buku ini sebelum diambil alih oleh SIRD, Petaling Jaya.

  1. ^ a b (8 April 2012) "Majlis Tahlil Untuk Arwah Abu Samah.". Dicapai pada 3 Julai 2018
  2. ^ a b c d e Meor Harman Meor Shakri (29 Disember 2002). "Kehidupan baru bekas pengganas". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-11-23. Dicapai pada 23 November 2017 – melalui Utusan Online. Unknown parameter |dead-url= ignored (bantuan)
  3. ^ Nasir Hashim; S. Arutchelvan (8 April 2009). "Abu Samah 1926-2009, Pemergian Seorang Lagi Revolusioner Rakyat". Parti Sosialis Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-07-03. Dicapai pada 3 Julai 2018. Unknown parameter |dead-url= ignored (bantuan)
  • Mohamed Salleh Lamry (2008) [2006]. Abu Samah Mohd Kassim: Pejuang Kiri Kemerdekaan Zuriat Datuk Bahaman. Petaling Jaya, Selangor: Strategic Information and Research Development Centre (SIRD). ISBN 9789833782413. OCLC 244530114.